3

hulurkan bantuan, ringankan beban: guru berlesen P mahukan jawapan

Published at 12:03 AM in ,

Sila bayangkan kamu berada di dunia sebelah saya. Membawa rekod mengajar untuk hari ini *sebut: Isnin* dengan semangat berkobar-kobar langkah kaki menunju ke gedung ilmu *sebut: kelas* Kamu berdiri di hadapan gedung ilmu. Pelajar berlari sambil meja kerusi tunggang langgang bagaikan baru diserang garuda maha ganas. Kehadiran kamu tidak di sedari sehingga kamu memberi salam sendiri.

Suara kamu bagaikan halilintar hingga ke kelas sebelah dengarnya. Pelajar kamu hilang pendengaran *sebut: pekak* agaknya hinggakan kelas sebelah yang menjawab soalan yang kamu utarakan. Buku latihan di buka, petak-petak kosong tanpa tulisan yang jelas tertera. Pen dakwat halimunan
*sebut: kosong* digunakan mungkin.


Mungkin dakwat halimunan lebih baik berbanding jika mereka halimunan! okei

Kamu menjelaskan, denda bermanfaat sebut pengetua. Lalu kamu mengarahkan sifir 3 dibaca. Gagal dengan jaminan apabila 3x3=6 katanya. Amaran diberikan tentang denda lebih berat. Ya! Wang saku 50 kupang *sebut: 50sen* dikutip untuk setiap kali buku kerja dengan dakwat halimunan digunakan. Wajarkah denda itu meningkat tatkala ibu ayah mereka cuma buruh atau nelayan semata?

Ya!! Guru dengan lesen P *sebut: pening* minta bantuan segera.

9

air mata mengalir. adakah perlu rasa terharu?

Published at 1:46 PM in ,

Tidak lama. Seminggu saja cuti sekolah ini datang. Nikmatnya~ Jelas terasa! Almaklumlah setelah lelah dan penat, akhirnya ada juga masa menanda buku dan menulis kertas peperiksaan pertengahan tahun untuk 3 matapelajaran. oh~ Masa ada, jangan cemburu ya~ Cuti guru penuh saja dengan aktiviti-aktiviti 'menyeronokkan'.

Kelas tusyen tidak pernah berhenti. Cuma kali ini, cabaran maha hebat bila pelajar berusia 8tahun itu tidak tahu membaca. Fokus semasa mengulangkaji juga bagai terbang dibawa angin. Aku bukan guru sekolah rendah yang tahu apa kehendak juga pedagogi pendidikan kanak-kanak. Jelas sungguh bila airmata mengalir tatkala aku minta beliau membaca kisah si cempedak dan si semut. Aku dengar dia mengeja. Perlahan-lahan sambil menggosok-gosok mata.

Cikgu: Takkan mengantok lagi? *kelas bermula jam 9pagi*
Akmal: Tidak, mata masuk habuk.

Aku biarkan seketika dia membaca. Tergagap-gagap sambil mengeja sepatah demi sepatah. Bila j-o menjadi go dan p-a-t menjadi pan, aku mula menyergah. Bukan begitu caranya barangkali kerana beliau menggosok mata lebih kerap. Aku perhatikan riak mukanya tertunduk ke bawah. Ada titis air mata jatuh ke pipi.

Cikgu: Kenapa?
Akmal: Diam
Cikgu: Kenapa menangis?
Akmal: Tidak tahu membaca.
Aku terkesima sebentar. Aku ambil kertas tertulis kisah buah dan binatang itu.
Cikgu: Dengar cikgu baca.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah, tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar;
Kalau salah tolong tunjukkan.


Mungkin aku bukan guru yang sesuai mengajar beliau tapi aku tahu tegas itu perlu demi kejayaan. Mungkin kaedah salah atau aku sendiri yang salah? Ya, beliau dihantar ke rumah aku oleh maknya. Katanya tidak tahu membaca. Aku berat pada awalnya untuk menerima tetapi hubungan kekeluargaan yang mengikat menjadikan aku tahu, ia tanggungjawab sosial aku.

Cikgu: Nanti cikgu beli buku cerita lebih menarik untuk kamu ya, Akmal.